
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menjadi universiti tempatan pertama yang mempunyai saluran televisyen sendiri yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun depan.
Saluran televisyen `edu-tainment' yang diperkenalkan melalui stesen televisyen berbayar atau tayangan atas permintaan (view on demand) akan dikendalikan di bawah program televisyen keluaran Fine TV, yang dimiliki oleh Network Guidance Sdn. Bhd.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, buat permulaan, program saluran televisyen itu akan ditawarkan kepada para pelajar jarak jauh secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
``Pengenalan saluran televisyen interaktif ini adalah selaras dengan hasrat UiTM untuk menjadi universiti bertaraf dunia pada tahun 2006 nanti,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian antara UiTM dan Fine TV, di sini hari ini.
Selain saluran televisyen yang bakal beroperasi tahun depan UiTM juga turut dikenali sebagai universiti pertama yang mengendalikan stesen radio sendiri dan boleh didengar di kawasan Lembah Klang.
Di dalam saluran interaktif itu Fine TV akan memperuntukkan satu saluran khas untuk para pelajar UiTM mengikuti pembelajaran secara interaktif tanpa perlu menghadiri kelas.
Kesemua kandungan program itu akan disediakan oleh UiTM dengan menggabungkan kepakaran pensyarah dan pelajar universiti terbabit.
Menurut Ibrahim, orang ramai juga boleh mengikuti program pembelajaran yang disediakan seperti kelas pengajian bahasa.
Tambah beliau, gabungan elemen hiburan dan pendidikan sebagai tema akan memberi lebih banyak faedah berbanding cara pembelajaran konvensional.
``Apa yang paling penting para pelajar boleh melihat berulang kali program pembelajaran sehingga mereka betul-betul faham mengenai apa yang diajar dan boleh menentukan masa tontonan sendiri,'' ujarnya.
- dipetik dari Utusan Malaysia