Borneo Highlands Resort -Resort sunyi untuk bersantai
BAYANGKANLAH pemandangan indah di atas gunung dengan kabus memutih dan hawa segar menyelubungi puncak. Bayangkan juga hamparan padang golf yang dikelilingi kehijauan hutan hujan tropika dan anda hanya ditemani bunyian unggas rimba.
Semua ini boleh anda nikmati jika berkunjung ke Hornbill Golf & Jungle Club di Borneo Highlands Resort, kira-kira sejam perjalanan dari Bandaraya Kuching.
Terletak pada ketinggian kira-kita 1,000 meter dari aras laut, pelbagai agenda menarik menanti anda jika berkunjung ke pusat percutian eksklusif itu, selain bermain golf.
Jurucakap Borneo Highlands Resort, berkata perkhidmatan urut tradisional masyarakat Bidayuh menjadi antara tarikan utama bagi pengunjung ke resort istimewa ini.
"Ramai pelancong sudah biasa dengan teknik urutan Indonesia atau Thailand tetapi di sini kami perkenalkan teknik urutan tradisi masyarakat Bidayuh yang menggunakan biji kopi dan beras bukit. Ia sungguh unik dan digemari pelancong.
"Dari segi lokasi, resort ini memang sunyi kerana terletak di tengah-tengah hutan yang menghijau. Dengan apa yang kami sediakan, resort ini amat sesuai menjadi tempat santai untuk melupakan segala urusan kerja seharian," katanya.
Hornbill Golf & Jungle Club, Borneo Highlands Resort mula dibuka kepada orang ramai pada 15 Julai 2000 dan dirasmikan bekas Perdana Menteri, TunDr Mahathir Mohamad.
Dengan kedinginan cuaca antara 18 hingga 28 darjah celsius, ia sesuai untuk anda bersiar-siar di sekitar resort ini walaupun jam menunjukkan angka 12 tengah hari.
Maklumkan saja hasrat anda kepada pihak hotel, sudah tentu mereka akan membawa meneroka seluruh kawasan yang berkeluasan 2,300 hektar seperti ladang sayuran organik, kebun bunga, taman arnab dan tasik angsa.
Jangan lupa minta pemandu trak berhenti pada ketinggian 3,281 kaki kerana di situ anda boleh melihat Kalimantan, Indonesia iaitu 600 meter kebawah dari tempat anda berdiri.
"Resort ini mempunyai 58 bilik dan empat suite. Semua bilik menjanjikan pemandangan indah. Bagi pemain golf yang gemarkan cabaran, di sinilah tempat yang ideal kerana padangnya mempunyai 18 lubang dengan permukaan bukit-bukau dan berliku," katanya.